Kejutan Sukan SEA: Malaysia runtuhkan tembok Thailand dalam final sepak takraw

15 Dis 2025, 6:31 AM
Kejutan Sukan SEA: Malaysia runtuhkan tembok Thailand dalam final sepak takraw
Kejutan Sukan SEA: Malaysia runtuhkan tembok Thailand dalam final sepak takraw

SHAH ALAM, 15 DIS: Dominasi Thailand dalam acara sepak takraw regu berpasukan lelaki di temasya Sukan SEA berakhir selepas 34 tahun apabila Malaysia mencipta kejutan dengan menewaskan tuan rumah 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Nakhon Pathom, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia meraih pingat emas pertama dalam acara berkenaan sejak 1991, satu pencapaian yang sebelum ini dianggap sukar direalisasikan, apatah lagi ketika beraksi di gelanggang lawan.

Akhbar The Bangkok Post menyifatkan kekalahan tersebut sebagai satu kejutan besar, lebih-lebih lagi ketika Thailand berada di landasan untuk melepasi sasaran 100 pingat emas di temasya Sukan SEA.

“Perjalanan Thailand melepasi mercu tanda 100 emas dibayangi apabila mereka tewas secara mengejut kepada musuh tradisi, Malaysia, pada final regu berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan dominasi 34 tahun dan mengejutkan sambutan Sukan SEA negara,” menurut laporan itu.

Laporan sama menyebut kekalahan tersebut turut merencatkan suasana perayaan yang sepatutnya menjadi detik gemilang buat Thailand, terutama apabila perlawanan itu disaksikan lebih 4,000 penonton di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom.

Pada perlawanan tersebut, Thailand memenangi regu pertama dengan keputusan 2-1, namun Malaysia bangkit dengan menewaskan regu B dan C tuan rumah 2-0 untuk mengesahkan kemenangan keseluruhan 2-1.

Kejayaan bersejarah itu mencerminkan peningkatan prestasi ketara skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas turut menewaskan Thailand pada final antara regu di Piala Dunia tahun lalu serta Piala Asia awal tahun ini.

Sebelum ini, Malaysia sering dianggap belum cukup kuat untuk menumbangkan Thailand dalam acara regu berpasukan, khususnya apabila beraksi di gelanggang lawan, namun persepsi itu terbukti meleset apabila skuad negara melakar kejutan bersejarah di Nakhon Pathom.