19 pegawai AKPS KLIA terlibat pelanggaran SOP, isu integriti dikenakan tindakan tatatertib

15 Dis 2025, 4:34 AM
19 pegawai AKPS KLIA terlibat pelanggaran SOP, isu integriti dikenakan tindakan tatatertib

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 19 pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikenakan tindakan tatatertib selepas didapati terlibat pelbagai kesalahan berkaitan integriti dan prosedur kerja.

AKPS KLIA dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib (LLT) yang bersidang pada 12 Disember lepas.

"Seramai 19 pegawai terlibat didapati bersalah atas pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas, langgar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan masuk/keluar negara.

"Kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib antaranya amaran, tangguh pergerakan gaji serta penurunan gaji, ia selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa," katanya.

Selain itu, AKPS KLIA turut membuka 43 kes siasatan tatatertib melibatkan isu integriti pegawai di KLIA, khususnya berkaitan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) dan peraturan kerja.

"Khususnya melibatkan penggunaan cap keselamatan masuk dan keluar negara, kawalan pemeriksaan kaunter, serta amalan “flying passport” dan “counter setting” yang menjejaskan integriti kawalan sempadan negara," katanya.

AKPS KLIA menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku dan pelanggaran integriti, khususnya dalam aspek kawalan masuk dan keluar negara yang merupakan elemen kritikal keselamatan negara.