SHAH ALAM, 15 DIS: Pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak segera selepas menerima maklumat mengenai aliran berwarna di longkang Seksyen 20, Shah Alam, yang dikesan mengalir ke Sungai Klang, petang semalam.
Menurut LUAS, aliran tersebut dipercayai berpunca daripada Kawasan Industri Seksyen 15, Shah Alam, namun pemeriksaan di tapak tidak menemui sumber atau punca jelas.
Keadaan hujan lebat dilaporkan dipercayai menyebabkan aliran bergerak ke hilir dengan cepat.
“Pemerhatian segera ke hilir sebelum Sungai Klang berjaya menemui kesan aliran berwarna tersebut, tetapi punca sebenar masih belum dikenal pasti,” menurut LUAS.
Semua sampel air telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
Satu kertas siasatan juga akan dibuka di bawah Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air, tertakluk kepada keputusan analisis sampel.
Selain itu, LUAS sedang berkomunikasi dengan pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk memastikan tindakan susulan diambil selaras bidang kuasa masing-masing.




