PM kecam serangan ganas Sydney, zahir takziah kepada keluarga mangsa

15 Dis 2025, 12:17 AM
PM kecam serangan ganas Sydney, zahir takziah kepada keluarga mangsa

SHAH ALAM, 15 DIS: Perdana menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan serangan ganas di Sydney yang meragut nyawa orang awam tidak bersalah serta mencederakan ramai yang lain.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera dan sepenuhnya, sambil menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang amat mengejutkan serta membimbangkan.

“Saya merakamkan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, beliau mengecam sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan dan menegaskan bahawa tiada sebarang justifikasi terhadap keganasan yang menyasarkan orang awam.

“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, sama ada pada bila-bila masa atau di mana-mana. Tindakan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama tidak mempunyai asas dalam mana-mana agama atau kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat dan Kerajaan Australia pada saat sukar ini, serta menyokong sepenuhnya segala usaha bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.