ADN: Dakwaan projek berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam diluluskan tidak benar

14 Dis 2025, 8:20 AM
ADN: Dakwaan projek berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam diluluskan tidak benar
ADN: Dakwaan projek berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam diluluskan tidak benar

SHAH ALAM, 14 DIS: Dakwaan berhubung projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Puchong telah diluluskan adalah tidak benar, tegas Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han.

Jelasnya, sehingga kini Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) belum menerima sebarang permohonan pembangunan bagi kawasan terbabit, sekali gus menafikan khabar angin yang tular dalam kalangan penduduk.

“Setakat ini, tiada sebarang permohonan dikemukakan kepada MBSJ. Oleh itu, dakwaan bahawa projek tersebut telah mendapat kelulusan adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata, beliau memahami kebimbangan penduduk berhubung cadangan berkenaan, memandangkan kawasan tersebut mempunyai cerun curam serta berisiko dari sudut keselamatan dan alam sekitar.

Tegasnya lagi, walaupun tanah berkenaan adalah tanah milik persendirian dan tidak termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam, aspek keselamatan serta impak alam sekitar tetap menjadi keutamaan.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Festival Remaja Kinrara 2025 di Taman Rekreasi Wawasan, Subang Jaya pada 14 September 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Mengulas lanjut, Sze Han memaklumkan pemilik tanah sedang menjalankan Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment, SIA) sekali gus menggesa penduduk setempat mengambil peluang untuk menyuarakan pandangan, kebimbangan atau bantahan menerusi proses maklum balas yang disediakan.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya telah berhubung dengan MBSJ bagi memastikan proses SIA tersebut diteliti secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan penuh ketelusan.

“Penglibatan penduduk amat penting. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar mengambil kira kesejahteraan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

Pada 22 November lalu, sebuah portal berita melaporkan bantahan lebih 700 penduduk Puchong berhubung cadangan satu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam, melibatkan kira-kira 68.411 hektar tanah.

Mereka menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas, risiko alam sekitar serta kehilangan kawasan hijau di Puchong yang kini semakin padat dengan pembangunan.