SHAH ALAM, 3 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung cadangan pembangunan berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Puchong.
Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata semakan mendapati tiada rekod atau dokumen perancangan berkaitan projek seperti yang dilaporkan.
“Tiada rekod permohonan perancangan bagi pembangunan di lokasi tersebut. Kami tidak mahu mengulas mengenai projek itu tanpa asas atau dokumen rasmi,” katanya seperti dilapor The Star.
Beliau berkata tidak mustahil terdapat pemaju yang memiliki tanah berhampiran hutan simpan berkenaan dan berhasrat membangunkan kawasan cerun tersebut.
Bagaimanapun, kawasan didakwa terlibat merupakan cerun Kelas 3 yang tertakluk kepada penilaian teknikal ketat sebelum sebarang pembangunan boleh dipertimbangkan.
“Pembangunan di kawasan cerun Kelas 3 memerlukan penilaian ketat termasuk analisis geoteknikal,” jelasnya.
Mengikut garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, cerun diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu Kelas 1 (bawah 15°), Kelas 2 (15°–25°), Kelas 3 (25°–35°) dan Kelas 4 (melebihi 35°).
Pembangunan perumahan dilarang sama sekali bagi cerun Kelas 4.
“Proses permohonan akan mengambil masa kerana melibatkan tanah persendirian di kawasan cerun curam. Ia dianggap berisiko jika perumahan diteruskan,” katanya.
Pengarah Jabatan Perancangan Bandar MBSJ, Hazman Mohd Mahayudin berkata projek itu dipercayai masih melalui penilaian impak sosial sebelum dinilai sebagai pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar.
Kedua-duanya ditemui selepas pelancaran Program Penyertaan Awam dan Publisiti Draf Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (Pindaan 1) di Dewan Serbaguna USJ7, kelmarin.
Mohd Zulkurnain yang merasmikan program itu menggesa penduduk memberikan maklum balas bagi membantu membentuk arah pembangunan bandar untuk 10 tahun akan datang.
Hazman turut memaklumkan MBSJ menerima 150 permohonan pindaan guna tanah dan 85 daripadanya dimasukkan dalam draf pelan tempatan, kebanyakannya melibatkan penukaran guna tanah institusi atau perumahan kepada komersial.
Paparan awam draf tersebut dibuka sehingga 31 Disember di beberapa lokasi termasuk Ibu Pejabat MBSJ USJ5, Kompleks 3K Taman Serdang Raya, Perpustakaan Hypermedia Bandar Puteri Puchong, pejabat PlanMalaysia Selangor serta Pejabat Daerah/Tanah Petaling.
Dokumen berkenaan turut boleh diakses secara dalam talian dan bantahan awam boleh dikemukakan melalui www.mbsj.gov.my


