SHAH ALAM, 14 DIS: Lebih 32 tahun selepas tragedi runtuhan yang meragut 48 nyawa, kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Kelang masih terbiar dengan dua blok usang yang belum dirobohkan.
Usaha merobohkan baki dua blok itu kini memasuki fasa paling kritikal apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan proses perundangan sedang diselesaikan di Mahkamah Tinggi, lapor Utusan Malaysia.
Sebelum ini, permohonan di Mahkamah Majistret Ampang tidak berjaya, menyebabkan MPAJ perlu mendapatkan perintah baharu bagi membolehkan kerja perobohan diteruskan.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, penduduk sekitar telah lama mendesak supaya struktur yang tidak terurus itu dibersihkan kerana dibimbangi menjejaskan keselamatan.
"Notis telah dikeluarkan kepada pemilik harta berdasarkan Akta Bangunan dan Saliran 1974, namun keputusan muktamad masih menunggu proses undang-undang selesai," katanya.
Dalam tempoh itu, MPAJ giat membersihkan kawasan sekitar Highland Towers susulan aduan berkaitan pencerobohan, keselamatan dan kehadiran haiwan berbisa.
Bagaimanapun, dua blok kondominium berkenaan masih belum boleh dirobohkan selagi isu perundangan dengan pemilik tanah belum dimuktamadkan.
Tragedi pada 11 Disember 1993 itu berlaku selepas hujan lebat berterusan mencetuskan tanah runtuh yang meranapkan Blok 1 Highland Towers.
Sejak itu, tapak berkenaan kekal sebagai simbol tragedi dan peringatan terhadap kepentingan keselamatan pembangunan di kawasan berbukit.
Penduduk berharap keputusan mahkamah kelak dapat mempercepatkan proses pembersihan dan membuka laluan kepada cadangan menjadikan kawasan itu sebagai ruang terbuka atau taman rekreasi.


