Lima pangsapuri di DUN Batang Kali terima peruntukan baik pulih lebih RM3 juta

14 Dis 2025, 12:00 AM
Lima pangsapuri di DUN Batang Kali terima peruntukan baik pulih lebih RM3 juta

HULU SELANGOR, 14 DIS: Lima pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima peruntukan baik pulih bangunan berjumlah lebih RM3 juta bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, projek berkenaan melibatkan kerja penggantian bumbung, mengecat semula bangunan, naik taraf tangki air serta pendawaian semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM3,140,233 dan ini membuktikan komuniti yang bersatu padu serta berusaha mendapatkan bantuan akhirnya menerima manfaat yang memberi kesan positif kepada penduduk,” katanya.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas program Rewang Komuniti Stara Hulu Selangor di Tapak Penjaja@ Taman Bunga Raya, Rawang pada 13 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berharap sumbangan baik pulih daripada Kerajaan Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta menerusi Projek Selangor Penyayang dapat memberikan keselesaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Rewang Komuniti Strata di Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Buginvilla, Taman Bunga Raya, Norsita Zainal berkata, peruntukan sebanyak RM271,623 akan digunakan bagi menaik taraf pendawaian elektrik pangsapuri berkenaan.

Pengerusi JMB Apartment Buginvilla, Taman Bunga Raya, Norsita Zainal

“Kami memohon Skim Ceria pada tahun 2024 dan tidak menyangka permohonan itu diluluskan pada 2025. Pendawaian elektrik di pangsapuri ini sudah lama memandangkan ia diduduki sejak tahun 2000,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor atas keprihatinan terhadap aspek keselamatan penduduk.

Bagi Pengerusi JMB Sri Bakawali, Faizah Ahmad pula, peruntukan berjumlah RM1.2 juta yang diterima menerusi Projek Selangor Penyayang akan digunakan untuk mengecat semula 10 blok bangunan.

Pengerusi JMB Sri Bakawali, Faizah Ahmad

“Pangsapuri ini dibina sejak 1998 dan mula diduduki pada tahun 2000. Keadaan bangunan sudah lama dan kelihatan kusam.

“Penduduk tidak sabar untuk melihat perubahan apabila bangunan kembali kelihatan lebih cantik dan ceria,” katanya.

Selain dua pangsapuri berkenaan, Apartment Seri Kemboja turut menerima peruntukan sebanyak RM1.29 juta, diikuti Apartment Seri Kembangan (RM125,330) dan Apartment Seri Tulip (RM255,380).