SHAH ALAM, 13 DIS: Kebakaran melibatkan sebuah kilang plastik di Bandar Puncak Alam berjaya dipadamkan 90 peratus setakat jam 4.40 petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kerja pemadaman giat dijalankan membabitkan 35 anggota serta empat jentera.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan bangunan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Menurut Ahmad Mukhlis, bahan yang terbakar dikenal pasti sebagai resin atau bahan asas plastik yang digunakan dalam proses pengeluaran kilang berkenaan dan sifat bahan polimer itu yang sukar dipadamkan menggunakan air menyebabkan proses pemadaman mengambil masa.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan dikenal pasti selepas operasi pemadaman selesai sepenuhnya.



