SHAH ALAM, 13 DIS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Selangor, termasuk Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang sehingga jam 5 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan amaran cuaca buruk itu turut melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh sama.
Selain Selangor, ribut petir turut dijangka berlaku di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, membabitkan kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim serta Bandar Baharu.
Di Perak, kawasan terjejas melibatkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Cuaca buruk yang sama turut diramal di Kelantan, melibatkan Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang, serta di Terengganu meliputi Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Bagi Pahang, kawasan terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, manakala Negeri Sembilan dan Melaka turut berada dalam senarai amaran.
Di Johor, ribut petir diramal melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Sementara itu, di Sarawak, amaran dikeluarkan bagi kawasan Kapit (Kapit), Bintulu dan Miri (Subis).
Di Sabah, kawasan terlibat termasuk Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat, selain Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca buruk serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca semasa yang dikemas kini oleh MetMalaysia.


