Ribut petir landa Selangor, Kuala Lumpur hingga 7 malam ini

31 Jan 2026, 9:00 AM
Ribut petir landa Selangor, Kuala Lumpur hingga 7 malam ini

SHAH ALAM, 31 JAN: Beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga jam 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan ribut petir dijangka melanda Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling di Selangor, selain Kuala Lumpur.

Amaran sama turut melibatkan beberapa daerah di Perak iaitu Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar serta Batang Padang, selain Cameron Highlands di Pahang.

Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching, Serian dan Samarahan meliputi Samarahan serta Asajaya.

Manakala di Sabah, amaran ribut petir melibatkan kawasan Pedalaman iaitu Sipitang dan Beaufort serta Pantai Barat termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang tempoh cuaca buruk berkenaan.