Kematian pempengaruh Taiwan: Jaminan Namewee dilanjutkan, polis tunggu laporan toksikologi

13 Dis 2025, 7:24 AM
Kematian pempengaruh Taiwan: Jaminan Namewee dilanjutkan, polis tunggu laporan toksikologi

SHAH ALAM, 13 DIS: Polis masih meneruskan siasatan kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin, apabila tempoh jaminan penyanyi rap, Wee Meng Chee atau Namewee, dilanjutkan sementara menunggu laporan toksikologi dan keputusan penuh bedah siasat mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata laporan toksikologi berkenaan masih belum diperoleh dan proses tersebut dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Kita masih menunggu laporan toksikologi seperti yang dimaklumkan sebelum ini, proses itu dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Polis sedang berusaha mendapatkan kedua-dua laporan berkenaan secepat mungkin bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Peluncuran Taman Angkat di Dataran PPR Seri Alam, Fasa Dua, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, sekiranya perlu, pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan lagi tempoh jaminan terhadap Namewee.

Media sebelum ini melaporkan tempoh jaminan terhadap Namewee telah dilanjutkan selama 14 hari sehingga 10 Disember.

Namewee sebelum ini direman selama sembilan hari bermula 5 hingga 13 November sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa.

Pada 22 Oktober lalu, Yun Hsin ditemukan meninggal dunia di dalam tab mandi bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.