SHAH ALAM, 12 NOV: Penyanyi kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee, 42, dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan lebih seminggu bagi membantu siasatan kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pembebasan tersebut dibuat berikutan tiada petunjuk kukuh setakat ini yang dapat mengaitkan individu berkenaan secara langsung dengan punca kematian mangsa.
“Pihak kami menawarkan jaminan polis. Setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan bahawa dia terbabit dalam kematian si mati.
“Walau bagaimanapun, siasatan berhubung kes itu masih belum selesai dan sedang giat diteruskan oleh pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor BH.
AGC turut mengesahkan arahan siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan melengkapkan kertas siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada PDRM,” katanya lagi.
Terdahulu, Namewee tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan kematian pempengaruh berusia 31 tahun itu.
Penyanyi itu ditahan reman selama enam hari sebelum remannya disambung tiga hari lagi yang berakhir hari ini.
Namewee sebelum ini dilaporkan sebagai individu terakhir bersama mangsa yang ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu.





