SHAH ALAM, 13 DIS: Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey akan dipercepat susulan kesepakatan antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi itu bakal menjadi model baharu pembangunan negara yang lebih cekap dan tersusun, selaras dengan prinsip tadbir urus berintegriti.
“Semua agensi berkaitan diarahkan untuk bergerak pantas dan memastikan projek ini menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan komuniti termasuk masyarakat Orang Asli, penduduk setempat dan nelayan akan diambil kira, selain memastikan kelestarian ekosistem terus dipelihara.
“Pembangunan negara yang dibangunkan haruslah seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam dalam menterjemahkan kemajuan yang sebenar dan berkekalan,” tambahnya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas yang membincangkan hala tuju strategik pembangunan pelabuhan berkenaan yang terletak di Pulau Carey.
Projek itu dilihat mampu memperkukuh keupayaan sektor pelabuhan serta meningkatkan kedudukan negara sebagai hab logistik utama serantau dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah memaklumkan bahawa pelabuhan ketiga ini merupakan projek pembangunan berskala besar yang dirancang bagi jangka masa 30 hingga 40 tahun akan datang.
Terminal baharu itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, mencipta peluang pekerjaan dan merancakkan sektor perindustrian serta perkhidmatan sokongan.




