Selangor International Ride 2025: Polis pertingkat kawalan trafik, iringan bermotosikal

12 Dis 2025, 2:21 PM
Selangor International Ride 2025: Polis pertingkat kawalan trafik, iringan bermotosikal

SHAH ALAM, 12 DIS: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor akan mempertingkatkan kawalan trafik sempena penganjuran Selangor International Ride 2025 yang berlangsung Ahad ini, melibatkan beberapa laluan di sekitar daerah Sepang dan Kuala Langat.

Ketua Polis Selangor berkata, Dato' Shazeli Kahar berkata, acara kayuhan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta yang bertanding dalam dua kategori iaitu 88 kilometer (km) dan 25km.

Katanya, semua peserta bagi kedua-dua kategori akan memulakan kayuhan dari PKNS Sales Gallery, Cyberjaya sebelum menamatkan kayuhan di lokasi yang sama.

“Justeru, JSPT Selangor akan melakukan tugasan kawalan serta iringan bermotosikal bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran trafik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagi kategori 80km, laluan kayuhan bermula di PKNS Sales Gallery melalui Persiaran Rimba Permai, Putrajaya, Pekan Dengkil, Bukit Changgang dan Pekan Salak Tinggi, sebelum melalui Jalan Jenderam serta Jalan Dengkil dan kembali ke PKNS Sales Gallery.

Bagi kategori 25km, laluan bermula di PKNS Sales Gallery melalui Persiaran Cyberjaya Valley 3, Persiaran Rimba, Persiaran Sepang, Persiaran Semarak Api dan Persiaran Multimedia, sebelum kembali ke PKNS Sales Gallery.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memberikan kerjasama serta mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas bagi menjamin keselamatan semua pihak dan melancarkan perjalanan acara berkenaan.