SHAH ALAM, 12 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima Anugerah Tadbir Urus dan Kepimpinan Beretika bagi kategori Tadbir Urus Korporat dan Etika pada ESG Awards 2025.
MBI memaklumkan pengiktirafan itu hasil usaha berterusan memperkukuh kecekapan pengurusan, penggunaan data dalam membuat keputusan serta pematuhan piawaian tadbir urus terbaik selari dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Anugerah ini mencerminkan komitmen padu kami dan syarikat milikan terhadap tadbir urus berintegriti tinggi sebagai asas penciptaan nilai jangka panjang,” maklum agensi itu di Facebook.
MBI turut menegaskan pihaknya memikul amanah besar dalam memelihara kepercayaan awam dan mengurus risiko institusi secara berkesan melalui portfolio strategik merangkumi sektor tanah dan hartanah, perlombongan dan mineral, air serta tenaga dan utiliti.
“Kami yakin penerimaan anugerah ini akan terus memperkukuh usaha kelestarian, sejajar dengan agenda pembangunan mampan Selangor,” jelasnya.
Majlis sama turut menampilkan sesi Dialog ESG PLUS bertemakan ‘The ESG Balancing Act: Profit, People & Planet in Today’s Economy’ yang menghimpunkan pemimpin industri bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta amalan terbaik dalam kepimpinan organisasi.
Sesi itu juga membincangkan cabaran, peluang dan hala tuju pelaksanaan prinsip kelestarian di Asia.


