SHAH ALAM, 11 Seramai 64 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah Sabak Bernam menerima bantuan kotak makanan daripada pasukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini bagi meringankan beban mereka selepas bencana yang melanda.
Agensi itu memberitahu bantuan disalurkan kepada 24 keluarga yang berteduh pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Bernam, PPS Dewan Bagan Nakhoda Omar (32 keluarga) dan PPS Dewan Seri Sekinchan (8 keluarga).
"Ketika ditemui, ada mangsa yang hanya sempat membawa dokumen penting, manakala ada juga yang hadir sehelai sepinggang. Ada yang masih terkejut dengan kehilangan harta benda dan kerosakan rumah akibat banjir.
"Bantuan ini tidak mampu menggantikan segala yang hilang, tetapi sekurang-kurangnya memberi sokongan awal kepada mereka untuk memulakan proses membersihkan rumah selepas air surut," tulis dalam satu hantaran di Facebook.
LZS turut mendoakan semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk membina semula kehidupan mereka serta dipermudahkan segala urusan selepas melalui dugaan berat.



