SHAH ALAM, 11 DIS: Seorang lelaki yang dilaporkan gagal dihubungi ahli keluarga sejak dua minggu lalu ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan lelaki tidak sedarkan diri itu kira-kira jam 11.27 malam tadi.
“Sebaik menerima maklumat, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
"Pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut polis, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian dan pernah menjalani pembedahan di bahagian kepala beberapa tahun lalu.
“Pemeriksaan awal di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah,” jelasnya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis berhampiran atau terus ke Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau hubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Yunus Abdul Samad di talian 019-7305604,” katanya.


