Selangor peruntuk RM60 juta bangunkan semula Kampung Fajar, Kampung Warisan

10 Dis 2025, 3:31 PM
Selangor peruntuk RM60 juta bangunkan semula Kampung Fajar, Kampung Warisan

AMPANG JAYA, 10 DIS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60 juta bagi melaksanakan pembangunan semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan di Hulu Kelang, Gombak sebagai usaha menyediakan penempatan lebih selesa kepada penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata projek akan dikendalikan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan disasar bermula pada 2027, dengan tempoh siap antara 24 hingga 36 bulan.

Penduduk mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Sesi Libat Urus Pembangunan Dan Penempatan Semula Kampung Fajar Dan Kampung Warisan, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 10 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pembangunan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah apartment atau pangsapuri pada harga RM200,000 seunit, lebih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM229,509 dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

“Selain perumahan, kerja-kerja infrastruktur turut dilaksanakan merangkumi jalan keluar masuk, sistem saliran, longkang serta komponen tebatan banjir bagi memastikan keselamatan jangka panjang.

“Tanggungjawab ini akan dilaksanakan oleh LLSB yang membangunkan keseluruhan pesisir sepanjang Sungai Klang dan anak-anak sungainya dan ini telah termasuk dalam lokaliti Kampung Wajar dan Kampung Warisan, yang kita akan bangunkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pembangunan Semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan bersama penduduk di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, malam ini.

Sesi Libat Urus Pembangunan Dan Penempatan Semula Kampung Fajar Dan Kampung Warisan, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak Bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 10 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengulas skim pemilikan rumah, Amirudin berkata dua pilihan akan ditawarkan kepada penduduk terlibat bagi memudahkan proses peralihan.

“Tawaran pertama ialah bayaran deposit RM2,000, sebelum diberi pilihan sewa-milik (rent to own) selepas rumah siap, dengan kos sewa antara RM500 hingga RM700 sebulan yang ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan warga emas.

“Tawaran kedua pula untuk mereka yang bekerja serta mempunyai kekuatan kewangan dengan membuat pinjaman di institusi seperti bank sebanyak RM200,000,” katanya lagi.

Amirudin turut menyeru kerjasama penduduk untuk memberi ruang pembangunan berjalan lancar dengan tempoh berpindah disediakan selama setahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.

“Negeri beri peluang untuk berpindah dengan ex-gratia (bayaran pampasan) dan pelan pembangunan ditetapkan sama ada secara sukarela dan memberi kerjasama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu penduduk dalam Sesi Libat Urus Pembangunan Dan Penempatan Semula Kampung Fajar Dan Kampung Warisan, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak di Pusat Konvensyen MPAJ, Ampang Jaya pada 10 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Pentadbiran negeri akan sediakan wang perpindahan buat setiap keluarga terlibat sebanyak RM2,500,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan hampir dua dekad berlalu namun isu setinggan di Kampung Fajar masih belum menemui noktah buat 120 keluarga menetap di kawasan tersebut terus terhimpit di celah pembangunan kawasan Gombak.

Difahamkan keadaan rumah setinggan di kampung berkenaan amat menyedihkan dengan ada yang hanya beratap zink lama, berdinding papan yang sudah reput dan berlantaikan simen pecah.