Pembangunan semula Kampung Fajar: 120 keluarga bakal miliki rumah lebih selesa berharga RM200,000

18 Dis 2025, 2:00 AM
Pembangunan semula Kampung Fajar: 120 keluarga bakal miliki rumah lebih selesa berharga RM200,000
Pembangunan semula Kampung Fajar: 120 keluarga bakal miliki rumah lebih selesa berharga RM200,000

GOMBAK, 18 DIS: Pembangunan semula Kampung Fajar, Hulu Kelang bakal memberi manfaat kepada 120 keluarga yang sekian lama berdepan kekurangan kemudahan asas, termasuk masalah banjir dan sistem saliran tidak teratur.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkata kebanyakan penduduk masih tinggal di kawasan setinggan dengan rumah berkayu dan infrastruktur asas tidak lengkap, sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka.

“Melalui pembangunan semula ini, penduduk akan ditawarkan unit apartmen seluas 1,000 kaki persegi lengkap dengan kemudahan asas yang lebih selesa, bersih dan selamat daripada kejadian banjir.

“Harga rumah yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran. Sangat sukar memperoleh RM200,000 untuk rumah apartmen di kawasan strategik seperti Taman Melawati,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Cabaran perpindahan dan sokongan kepada penduduk

Juwairiya berkata antara cabaran utama ialah memberi kefahaman kepada penduduk mengenai keperluan berpindah sementara bagi membolehkan kerja pembangunan dilaksanakan, terutama kepada mereka yang menetap lebih 50 tahun di kawasan tersebut.

“Selain itu, isu kemampuan kewangan turut menjadi kebimbangan, terutama warga emas, penduduk tanpa pendapatan tetap serta mereka yang tiada waris untuk membantu kos pembelian rumah baharu.

“Pihak Penyelaras DUN Hulu Kelang telah menyusun langkah bantuan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi memastikan golongan ini tidak terbeban dan terus dibantu,” ujarnya.

Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli dalam temu ramah bersama Media Selangor di Pejabat Penyelaras DUN Hulu Kelang Taman Keramat pada 16 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut menjelaskan tanah yang diduduki merupakan milik kerajaan, dan penduduk dibenarkan menetap di situ atas ihsan Kerajaan Negeri selama ini.

“Bagaimanapun, proses pembangunan semula memerlukan penduduk memahami keperluan tertentu termasuk aspek kos yang terlibat.

“Selepas pertemuan bersama Dato’ Menteri Besar (Dato' Seri Amirudin Shari) tempoh hari, tiada bantahan diterima daripada penduduk kecuali seorang suri rumah yang bimbang tidak mampu membeli rumah kerana tidak bekerja. Isu ini sedang diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Isu tanah campuran dan bancian penduduk

Juwairiya berkata Kampung Fajar terbahagi kepada tiga plot tanah, dua milik Kerajaan Negeri dan satu milik Kerajaan Persekutuan, yang menimbulkan cabaran pentadbiran kerana melibatkan tanah campuran.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri menggunakan bidang kuasa sedia ada bagi memastikan projek dapat dilaksanakan.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang menjalankan proses bancian penduduk bagi memastikan tiada keluarga tercicir daripada manfaat pembangunan semula Kampung Fajar,” katanya.

Minggu lalu, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60 juta untuk melaksanakan pembangunan semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan di Hulu Kelang sebagai usaha menyediakan penempatan lebih selesa kepada penduduk.

Beliau berkata projek itu akan dikendalikan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan disasarkan bermula pada 2027, dengan tempoh siap antara 24 hingga 36 bulan.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan pembangunan akan memberi tumpuan kepada pembinaan apartmen bernilai RM200,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi, jauh lebih rendah berbanding anggaran harga pasaran sekitar RM229,509.