GOMBAK, 18 DIS: Penduduk Kampung Fajar, Hulu Kelang bersetuju dengan tawaran pembangunan semula termasuk penyediaan rumah baharu yang diumumkan Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Fajar, R Surenthran, berkata peluang memiliki rumah berharga RM200,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi wajar direbut kerana peluang seperti itu tidak selalu datang.
“Kalau penduduk tidak terima tawaran Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) sekarang, mungkin kena tunggu 20 tahun lagi untuk dapat peluang pembangunan semula seperti ini.
“Secara keseluruhan, penduduk bersetuju dan sedia berpindah. Tawaran rumah berharga RM200,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi adalah sesuatu yang sangat sukar diperoleh di kawasan seperti Taman Melawati,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Menurutnya, hasil perbincangan lanjut antara persatuan penduduk dan komuniti setempat selepas pertemuan dengan Amirudin menunjukkan tiada bantahan terhadap cadangan pembangunan tersebut.
Bagaimanapun, Surenthran memaklumkan terdapat beberapa perkara yang ingin dirundingkan, terutama berkaitan tempoh perpindahan.

“Setakat ini, tempoh pindah ditetapkan sehingga 31 Disember 2026, namun penduduk berharap ia dapat dilanjutkan ke awal 2027.
“Penduduk memohon sedikit kelonggaran masa bagi membolehkan upacara sembahyang dan kenduri keagamaan dijalankan sebelum berpindah,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kadar sewaan sementara yang ditawarkan, iaitu RM1,000 sebulan.
“Kos sewa di luar kawasan mahal. Ramai penduduk bekerja dan anak-anak bersekolah di sekitar Taman Melawati, jadi kos sara hidup akan meningkat. Kami berharap kadar bantuan sewaan ini dapat dinaikkan,” ujarnya.
Minggu lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM60 juta untuk pembangunan semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan di Hulu Kelang bagi menyediakan penempatan lebih selesa kepada penduduk.
Beliau berkata projek akan dikendalikan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan disasarkan bermula pada 2027, dengan tempoh siap antara 24 hingga 36 bulan.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut memaklumkan pembangunan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah apartmen berharga RM200,000 seunit dengan keluasan 1,000 kaki persegi, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sekitar RM229,509.


