BANGKOK, 10 DIS: Kontinjen negara meraih pingat emas pertama di Sukan SEA Thailand menerusi acara hoki lima sebelah (5s) lelaki selepas menewaskan Indonesia 7-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Royal Thai Air Force (RTAF), hari ini.
Kejayaan itu turut mencipta sejarah apabila sukan hoki 5s buat julung kali dipertandingkan di temasya dwitahunan berkenaan.
Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran masing-masing pada minit ketujuh, kelapan dan ke-14.
Bersambung separuh masa kedua, skuad negara menambah empat lagi jaringan menerusi Akhimullah pada minit ke-17 dan ke-29, selain Abid dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini yang memastikan kemenangan bergaya pada minit terakhir permainan.
Indonesia pula meraih tiga jaringan menerusi Mochamad Fathur (m-19) dan dua gol pantas Alfandy Prastyo (m-24), lapor Berita Harian.
Ketua jurulatih negara, Wan Roslan Wan Abdul Rahman menzahirkan rasa bangga dengan prestasi anak buahnya yang bukan sekadar membawa pulang emas sulung, malah mencipta rekod dalam sejarah penyertaan negara dalam acara itu.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga hoki 5s berjaya menyumbang pingat emas kepada negara dan kami juga melakar sejarah kerana hoki 5s pertama kali dipertandingkan di Sukan SEA.
“Saya cukup yakin pemain boleh mendapat keputusan yang baik memandangkan prestasi mereka cukup bagus pada peringkat awal,” katanya selepas perlawanan.
Terdahulu, pada aksi separuh akhir, Malaysia membelasah Filipina 9-1 dan turut mendominasi pusingan round robin dengan rekod bersih membenam Indonesia 4-2, Filipina 18-0 dan Thailand 9-1.


