SHAH ALAM, 10 DIS: Selangor mencatat kutipan hasil lebih RM2.7 bilion setakat ini, melepasi sasaran awal tahun ini iaitu RM2.3 billion, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prestasi cemerlang melepasi sasaran itu hasil kerja tersusun yang digerakkan keseluruhan pasukan di peringkat negeri.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran. Sasaran kita ialah RM2.3 bilion. Dalam belanjawan hari itu saya sebut kita boleh sampai RM2.7 bilion, hari ini kita dah lepas pun.
“Jadi kita tunggulah berapa hari sampai 31 Disember nanti kalau dapat hasil yang lebih baik. Kita dah pasti lebih daripada RM2.7 bilion, tapi saya tak nak sebutlah angka dia sebab ada lagi bayaran yang sedang ditunggu untuk urusan tanah.
“Jadi kalau dapat itu maknanya apa hasil pentingnya? Kita dapat kurangkan defisit. Tahun ini belanjawan kita RM3 bilion. Defisit kita lebih kurang RM400 juta. Tapi apabila kita dapat RM2.7 bilion, defisit kita sudah kurang menjadi RM300 juta dan kalau kita lihat kepada trend penggunaan pula, silap-silap kita boleh jadi bajet seimbang,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan masjid dan surau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Mengulas mengenai cadangan supaya Kerajaan Negeri menaikkan jumlah bantuan tunai kepada mangsa banjir, beliau berkata fokus Kerajaan Negeri kini adalah usaha bagi mengelak berlakunya bencana itu dengan memastikan projek tebatan banjir dilaksana dan disiapkan secepat mungkin.
“Apa yang harus dilakukan ialah projek berterusan ataupun melaksanakan secepat mungkin projek tebatan banjir. Apa yang berlaku di Hulu Langat sebagai contoh, itu kerana projek tempatan banjir Sungai Langat fasa dua kita belum siap.
“Apabila saya rujuk masih lagi di peringkat reka bentuk. Reka bentuk ni maknanya belum ada projek on-site lagi dan ini kalau projek on-site sudah berlaku maknanya boleh dikurangkan ataupun boleh diberikan kesan yang lebih lebih baik.
“Ini seharusnya menjadi penumpuan dan fokus negeri berbanding kita menaikkan sumbangan kepada mangsa,” katanya.






