SHAH ALAM, 10 DIS: Prasarana Malaysia Bhd belum menetapkan tarikh baharu untuk pelancaran Laluan LRT Shah Alam (LRT3) selepas projek itu mengalami kelewatan berikutan beberapa isu teknikal yang dikesan ketika ujian.
Presiden merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, bagaimanapun mengesahkan bahawa laluan tersebut tidak akan beroperasi seperti dijadualkan tahun ini demi memastikan keselamatan penumpang.
“Sudah pasti dan jelas bahawa Laluan Shah Alam tidak akan dilancarkan tahun ini,” katanya pada sidang media perkembangan projek itu di Stesen LRT Stadium Shah Alam hari ini.

Dalam kenyataan awal hari ini, Prasarana memaklumkan LRT3 hanya akan beroperasi selepas kerja pembaikan dan penambahbaikan teknikal diselesaikan susulan penemuan beberapa isu keselamatan, operasi dan prestasi ketika proses pengujian dan pentauliahan (T&C).
Menurutnya, sejak peringkat Fault-Free Run (FFR) bermula pada 26 Ogos, kontraktor projek Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3) telah mengenal pasti 33 isu melibatkan ralat perisian dan gangguan sistem yang perlu diperbetulkan sebelum sistem boleh dianggap bersedia untuk operasi awam.
Amir berkata Prasarana telah mengambil tindakan sewajarnya dan melaksanakan langkah tambahan sebagaimana termaktub dalam kontrak bagi memastikan pematuhan serta akauntabiliti sepanjang projek berlangsung.
Beliau menambah bahawa pihaknya komited memberikan maklumat terkini kepada orang ramai serta laporan mingguan kepada Kementerian Pengangkutan.

“Kami akan terus memberikan kemas kini berkala dan akan menjemput rakan media untuk satu lagi taklimat pada pertengahan Januari 2026.”
Pengarah projek SULRT3, Patrick Hwang, berkata isu berkenaan dikesan selepas ujian perisian menyeluruh dijalankan bagi memastikan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem.
Katanya, ujian jarak dekat lazimnya tidak menunjukkan masalah, namun isu biasanya timbul selepas ribuan kilometer operasi berterusan.
Hwang berkata percubaan lebih panjang, termasuk ujian “Golden Train” sejauh 4,000km, mendedahkan gangguan seperti tren berhenti tidak tepat di platform dan pintu gagal berfungsi — masalah yang hanya dapat dikenal pasti dan diselesaikan melalui ujian jangka panjang.

Beliau memaklumkan kebanyakan isu telah diperbetulkan, dengan hanya beberapa lagi sedang ditangani.
“Tidak wajar untuk tergesa-gesa… Walaupun isu bukan keselamatan seperti pintu gagal dibuka boleh menjejaskan pengalaman penumpang. Kami mahu menyediakan sistem yang selamat, boleh dipercayai dan stabil,” katanya.
Hwang turut menegaskan bahawa kelewatan itu tidak melibatkan kos tambahan kerana projek ini terikat kepada kontrak tetap.
Awal tahun ini dilaporkan bahawa LRT3 pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 30 September sebelum tarikh itu disemak semula pada akhir Ogos. Pada November, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan LRT3 akan beroperasi pada 31 Disember.

Laluan LRT3 sepanjang 37km itu merangkumi 25 stesen dari Bandar Utama ke Johan Setia, dengan stesen pertukaran di Bandar Utama (Laluan MRT Kajang) dan Glenmarie (Laluan LRT Kelana Jaya).
Sebaik beroperasi, Laluan Shah Alam dijangka memberi perkhidmatan kepada lebih dua juta penduduk di Lembah Klang.


