Pengguna harap tiada lagi penangguhan, mahu LRT3 beroperasi Jun

18 Mei 2026, 12:00 AM
Pengguna harap tiada lagi penangguhan, mahu LRT3 beroperasi Jun
Pengguna harap tiada lagi penangguhan, mahu LRT3 beroperasi Jun
Pengguna harap tiada lagi penangguhan, mahu LRT3 beroperasi Jun

SHAH ALAM, 18 MEI: Kekerapan tren menjalani ujian larian tanpa gagal (FFR) di sepanjang laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menghidupkan kembali harapan penduduk sekitar Shah Alam yang mahu perkhidmatan itu mula beroperasi Jun ini.

Selepas beberapa kali ditangguhkan, ramai pengguna berharap laluan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia akhirnya dapat digunakan, meskipun masih bimbang ia akan tertunda sekali lagi.

Pelajar, Mila J Camila, 20, berkata kelewatan projek itu mengecewakan kerana dia berharap dapat menggunakan LRT3 untuk berulang-alik ke tempat kerja sambilannya di Seksyen 7 di sini.

Buat masa ini, katanya, dia masih bergantung kepada perkhidmatan e-hailing untuk ke tempat kerja.

“Saya pergi kerja naik Grab. Saya agak kecewa sebab memang berharap LRT3 dah beroperasi supaya lebih mudah untuk bergerak,” katanya kepada Media Selangor.

Pelajar, Mila J Camila, 20, berharap perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam dapat beroperasi segera bagi memudahkan urusan hariannya.

Menurut Mila, tren yang dilihat menjalani ujian FFR memberi gambaran perkhidmatan itu bakal dibuka tidak lama lagi, namun perubahan tarikh operasi yang berulang kali tetap mengecewakan pengguna.

“Kadang-kadang bila keluar beli makanan, saya nampak tren bergerak. Saya dengan sepupu selalu tanya, ‘Bila boleh naik?’ Kami memang teruja, tapi bila tahu ia terus ditangguhkan memang rasa kecewa,” katanya sambil menambah dia lebih gemar menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

Pada Februari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata LRT3 yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka beroperasi menjelang Jun selepas semua proses ujian, pentauliahan dan penyelesaian isu teknikal selesai dilaksanakan.

Dua kumpulan tren membabitkan 14 daripada keseluruhan 22 tren dilaporkan telah melengkapkan ujian FFR, manakala satu lagi kumpulan melibatkan lapan tren masih dalam proses menjalani ujian berkenaan selama 22 hari.

Pada Disember tahun lalu, Prasarana Malaysia Berhad memaklumkan operasi LRT3 ditangguhkan sementara bagi membolehkan kerja penambahbaikan teknikal dilaksanakan susulan beberapa isu yang dikenal pasti ketika fasa ujian dan pentauliahan.

Pencipta kandungan Muhammad Arif Firdaus Jamil, 24, berharap perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dapat menjadi alternatif pengangkutan lebih mudah di Shah Alam.

Sementara itu, pencipta kandungan Muhammad Arif Firdaus Jamil, 24, berkata pembukaan LRT3 amat dinanti-nantikan kerana sistem pengangkutan awam sedia ada di Shah Alam, khususnya bas masih kurang memuaskan.

Katanya, dia kini lebih banyak menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

“Saya jarang guna pengangkutan awam. Kalau perlu, saya guna Grab atau Uber. Nak tunggu bas satu hal, lepas itu tetap terperangkap dalam kesesakan. Jadi memang susah,” katanya.

Menurut Muhammad Arif, operasi LRT3 penting bagi membantu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sekitar Shah Alam selain memberi alternatif pengangkutan lebih selesa kepada pengguna.

Seorang lagi pengguna, Chan Kok Wai, 33, berkata LRT3 bakal menjadi pilihan pengangkutan yang berguna terutama ketika berdepan situasi kecemasan seperti kereta rosak.

Chan Kok Wai, 33, melihat perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sebagai alternatif pengangkutan berguna ketika kecemasan.

“Saya memang akan guna sebab kadang-kadang ada kecemasan macam kereta rosak. Tapi sekarang belum boleh sebab ia masih ditangguhkan.

“Saya selalu nampak tren bergerak, tapi bila pergi stesen dengan harapan nak naik, masih belum boleh lagi. Jadi memang rasa sedikit kecewa,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.