KLANG, 30 JAN: Ujian Larian Tanpa Gagal (FFR) bagi projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Februari ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Pembangunan), Dr Prodyut Dutt berkata, proses itu melibatkan 22 set tren dan akan diikuti dengan ujian percubaan serta operasi sebaik sahaja fasa pengujian selesai.

“Bagi kumpulan pertama melibatkan enam tren dijangka selesai hari ini yang mana lima daripada melepasi ujian FFR. Manakala, kumpulan kedua membabitkan lapan tren di peringkat akhir pengujian mencapai 82 peratus selesai sepenuhnya 2 Februari depan.
“Sejurus proses pengujian kedua-dua kumpulan ini selesai, kontraktor diberi tempoh tujuh hari untuk perbaiki perisian dan pengoperasian seterusnya meneruskan ujian kumpulan tiga melibatkan lapan tren.
“Buat masa ini, kita tidak boleh menetapkan tarikh tepat untuk pembukaan laluan ini kerana menitik berat isu keselamatan pengguna dan kestabilan sistem sekali gus mengelak risiko isu teknikal,” katanya dalam sidang media khas di Depoh Johan Setia hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 33 isu teknikal melibatkan ralat perisian, termasuk sistem isyarat, komunikasi dan kawalan operasi, dikesan sepanjang pelaksanaan ujian FFR.
“Bagaimanapun, semua isu berkenaan telah diselesaikan. Antara penanda aras utama yang dititikberatkan ialah tiada penggunaan brek kecemasan, ketepatan hentian tren serta kelancaran operasi pintu.
“Seramai 800 kakitangan ditempatkan di laluan ini melibatkan sektor teknikal, operasi, keselamatan dan stesen, dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada kakitangan berpengalaman bagi mengekalkan standard perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan LRT Laluan Shah Alam tidak beroperasi pada tahun lalu berbanding disasarkan pada 30 September.
Keputusan itu berikutan Prasarana mendapati beberapa masalah yang dihadapi ketika menjalankan ujian FFR terhadap tren sejak 26 Ogos lepas.
LRT Laluan Shah Alam menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang melalui Shah Alam merangkumi 37.8kilometer (km) termasuk 2.5km merupakan laluan bawah tanah selain membabitkan 20 stesen.


