SHAH ALAM, 10 DIS: Satu lagi kes pembakaran terbuka dikesan di tapak pembuangan sampah dipercayai haram di Cybersouth, Dengkil, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pencemaran serta keselamatan penduduk.
Kejadian itu dimaklumkan susulan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dengkil yang menemukan aktiviti pembakaran di lokasi berkenaan sebelum siasatan dijalankan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, turut turun padang melakukan tinjauan.
Menerusi kenyataan di Facebook, pemeriksaan mendapati kawasan tersebut digunakan sebagai lokasi pembuangan sampah haram dengan kesan pembakaran berulang.
“Sisa pepejal, bahan binaan dan pelbagai jenis sampah ditemui bersama asap nipis yang menunjukkan aktiviti itu dilakukan secara konsisten,” menurut kenyataan itu.
Pemilik tanah telah diarahkan membuat rondaan kerap selain membuat laporan polis segera bagi mengelakkan pencerobohan dan pembuangan sisa secara tidak sah.
Dalam pada itu Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tiada penyalahgunaan berlaku di kawasan milik mereka termasuk aktiviti pembuangan haram dan pembakaran terbuka.
Dalam masa sama, Pejabat Daerah dan Tanah Sepang akan mengeluarkan Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara bagi mengarahkan pemulihan segera tanah kepada keadaan asal.
“Jika gagal mematuhi arahan, tindakan lebih tegas termasuk perampasan tanah boleh dilaksanakan,” jelas kenyataan tersebut.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) turut digerakkan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang.






