SHAH ALAM, 10 DIS: Pelabuhan Klang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan tersibuk dunia, namun pemain industri mengingatkan bahawa usaha memperkukuh daya saing perlu diteruskan bagi memastikan kedudukan itu dapat dipertahankan.
Mereka berpendapat kerajaan perlu memberi perhatian kepada tiga bidang utama, iaitu pembangunan bakat, peningkatan infrastruktur penghubung, serta perancangan ekosistem pelabuhan yang lebih holistik.
Laporan Lloyd’s List bertarikh 1 September 2025 meletakkan Pelabuhan Klang di tangga ke-10 dunia, meningkat satu kedudukan berbanding tempat ke-11 pada 2023 – kemunculan pertama Malaysia dalam kelompok tersebut.
Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF), Dato’ Tony Chia Han Teun, menyifatkan pencapaian itu sebagai perkembangan positif hasil infrastruktur kukuh, kedudukan strategik dan jaringan global yang baik.
“Namun kita perlu melihat ranking ini secara berhati-hati. Beza Pelabuhan Klang dengan Rotterdam yang berada di tempat ke-11 hanyalah sekitar 825,000 TEU, manakala Hong Kong juga rapat di belakang. Persaingan global masih sangat ketat,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sejak 2021, pelabuhan di seluruh dunia berdepan kesan pandemik, ketegangan geopolitik dan perubahan tarif, yang mempengaruhi operasi sektor logistik di pelbagai peringkat.
Walaupun infrastruktur sedia ada mampu menampung pertumbuhan, isu kelewatan pelepasan kastam dan fasiliti sokongan yang tidak seiring pembangunan semakin ketara. Tony turut menggesa koordinasi lebih baik antara agensi penguatkuasaan dan jabatan kastam.
Beliau berkata beberapa sistem seperti SDSIE dan MyCIEDS pernah mengalami kelewatan semasa fasa awal pelaksanaannya, yang meningkatkan caj berkaitan logistik.
Tony mencadangkan Lembaga Pelabuhan Klang mempertimbangkan dasar seperti Suruhanjaya Maritim Persekutuan (FMC) Amerika Syarikat yang membolehkan pengecualian caj demurrage dan pengendalian sekiranya kelewatan berpunca daripada agensi kerajaan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga boleh memainkan peranan dalam perancangan guna tanah logistik memandangkan sebahagian kawasan gudang dan depoh kini terlalu berselerak serta berhampiran kawasan perumahan.
“Pelabuhan Klang mempunyai rangkaian multimodal yang baik, dan apabila ECRL mula beroperasi, tahap penghubungannya akan meningkat dengan ketara,” katanya.
Kemajuan ada, tetapi beberapa kekangan masih wujud
Presiden Persatuan Penghantar Fret & Logistik Selangor (SFFLA), Alvin Chua Seng Wah, berkata Pelabuhan Klang mencatat peningkatan penting sejak lima tahun lalu, dengan 14.2 juta TEU diuruskan pada 2023 – meningkat 14 peratus berbanding 2019.
Namun beliau mengakui persaingan serantau semakin sengit, terutama dengan Singapura dan pelabuhan di Vietnam yang berkembang pesat.
Beliau berkata pengenalan single window dan sistem temu janji Westport telah mengurangkan masa menunggu sehingga 40 peratus, sekali gus mengurangkan kesesakan.
Namun jalan utama menuju pelabuhan sering sesak, dan kemalangan kecil boleh menyebabkan gangguan besar terhadap operasi harian. Sistem pelepasan sedia ada juga dianggap lapuk dan masih bergantung kepada kemasukan data manual.
Kerajaan Persekutuan dijangka memperkenalkan versi baharu Sistem Maritime Single Window untuk mempercepatkan digitalisasi sektor tersebut.
Peranan bakat dan dasar penting untuk masa depan Pelabuhan Klang
Alvin berkata perbincangan antara industri, Lembaga Pelabuhan Klang dan pasukan petugas logistik kebangsaan yang hanya berlangsung dua kali setahun tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor yang berkembang cepat.
“Pelabuhan Klang bukan hanya hab Selangor, tetapi hub strategik Malaysia dan Asean. Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan lebih aktif menerusi latihan profesional untuk meningkatkan bakat logistik serta menyokong pembangunan dasar yang lebih kukuh.”
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan Pelabuhan Klang datang daripada asas industri yang luas, bukan bergantung pada transhipment semata-mata seperti Singapura.
“Dengan rancangan membangunkan Pelabuhan Klang ketiga, usaha melibatkan Kerajaan Negeri, kerajaan Persekutuan dan industri perlu digerakkan secara lebih menyeluruh untuk memastikan kejayaannya.”




