Lima lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh di Pelabuhan Klang

31 Mei 2026, 7:38 AM
Lima lelaki ditahan bantu siasatan kes gaduh di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 31 MEI: Lima lelaki ditahan disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata penahanan individu berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 4 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menahan lima lelaki tempatan dan kesemua tangkapan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata punca pergaduhan masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya terus ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 2 minit 41 saat memaparkan insiden pergaduhan dengan beberapa individu memegang senjata dipercayai berlaku di Flat Seri Perantau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.