SHAH ALAM, 9 DIS: Polis Daerah Gombak memperkukuh usaha membanteras jenayah menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksana selama 10 hari melibatkan dua fasa bermula 24 hingga 27 November serta 2 hingga 7 Disember 2025.
Operasi meliputi kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan penyertaan pegawai kanan dan anggota IPD Gombak serta bantuan IPD Ampang Jaya bagi meningkatkan keberkesanan di lapangan.
“Operasi ini langkah proaktif mencegah jenayah khususnya membabitkan pecah rumah, kecurian kenderaan, samun jalanan dan ragut yang menjejaskan ketenteraman masyarakat,” menurut kenyataan di Facebook.
Sepanjang operasi, 1,677 individu diperiksa melalui rondaan, sekatan jalan raya dan pemeriksaan di lokasi berisiko, dengan 15 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.
Polis turut membuat pemeriksaan terhadap 1,497 kenderaan, manakala 299 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Pihak berkuasa itu menegaskan komitmen berterusan meningkatkan usaha pencegahan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.




