SHAH ALAM, 9 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaksanakan Ops Laluan Terhad Kenderaan Perdagangan bagi memantau pematuhan laluan dan waktu terhad kenderaan perdagangan di lebuh raya.
Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan rondaan dilakukan setiap hari di Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Latar dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.
"Operasi ini menumpukan pemantauan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi laluan dan waktu terhad yang ditetapkan.
"Antara kesalahan utama yang dikesan ialah kegagalan mematuhi isyarat lalu lintas waktu terhad yang telah diwajibkan," menurut kenyataan di Facebook itu.
Menurut JPJ Selangor, penguatkuasaan kesalahan berkenaan dibuat mengikut Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) oleh pegawai pengangkutan jalan, pegawai polis atau warden trafik.
Individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000.
JPJ menjelaskan bahawa peraturan ini diwujudkan bagi memastikan kelancaran trafik terutama pada waktu puncak serta mengurangkan risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat di laluan utama.
"Dinasihatkan agar pengendali atau pemandu syarikat pengangkutan kenderaan barangan mematuhi sepenuhnya terhadap Peraturan Larangan Waktu terhad yang telah diwartakan," katanya.
Sebarang aduan berkaitan trafik, orang awam boleh menyalurkan maklumat melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau menggunakan aplikasi e-aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu dan maklumat kejadian.



