SHAH ALAM, 8 DIS: Industri halal menyumbang 7.94 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan RM118.2 bilion, dengan 1,525 syarikat berdaftar sebagai pengeksport halal sehingga suku ketiga 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 menyasarkan nilai industri halal negara meningkat kepada RM231.1 bilion menjelang 2030, eksport halal mencecah RM70 bilion dan sumbangan kepada KDNK mencapai 10.8 peratus.
“Bagi memperkukuh ekosistem halal, Malaysia telah membangunkan 14 taman halal berstatus HALMAS yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran, pemprosesan dan logistik. Taman-taman ini dilengkapi infrastruktur bertaraf dunia, kemudahan pensijilan halal serta sokongan pelaburan selaras Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
“Sehingga kini, pelaburan terkumpul di taman halal berkenaan berjumlah RM16.7 bilion dan disasarkan meningkat kepada RM25 bilion menjelang 2030,” menurut MITI dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MITI menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail mengenai nilai pasaran produk halal dan tidak halal serta usaha kerajaan memperkasa industri halal agar kekal berdaya saing di peringkat global.
Sementara itu, Senator Baharuddin Ahmad turut bertanya mengenai usaha kerajaan memacu Perlis sebagai hab halal antarabangsa memandangkan lokasinya yang bersempadan Thailand dan menjadi pintu masuk produk halal ke pasaran ASEAN.
MITI menjelaskan kerajaan memberi penekanan terhadap promosi perdagangan dan pelaburan produk halal di Perlis melalui Inisiatif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan kerjasama rantau seperti Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Kerjasama itu turut meliputi program perkongsian kepakaran teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) melibatkan pembangunan ekosistem halal dan pensijilan halal Malaysia.
“Kerajaan turut mengutamakan pembangunan infrastruktur seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang menjadi pemangkin logistik halal serta perdagangan rentas sempadan,” katanya.
MITI berkata CVIA seluas 2,468 ekar sedang dibangunkan sebagai taman perindustrian bersepadu dengan kluster pembuatan halal, pembuatan hijau, automotif EEV dan tenaga boleh baharu, manakala PIP seluas 500 ekar dimajukan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Februari 2026.
Kerajaan negeri juga akan menubuhkan sebuah makmal pengujian pensijilan halal di CVIA bagi memperkukuh standard pensijilan, mempercepat proses serta memastikan pematuhan saintifik dan syariah yang konsisten, sekali gus memperkasakan ekosistem halal negara.
“Selain itu, program Keusahawanan dan Pensijilan Halal turut dilaksanakan bagi mempromosikan usahawan tempatan, meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan memperkukuh daya saing produk,” katanya.


