KUALA LUMPUR, 13 OKT: Inisiatif strategik industri halal dalam Belanjawan 2027 bakal menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan ke pasaran global.
Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC) Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata sokongan kepada PMKS perlu dilengkapi dengan pembangunan keupayaan perniagaan bagi memastikan syarikat tempatan bukan sahaja memiliki sijil, malah berkembang dan meneroka peluang dalam rantaian nilai halal global.
“Bantuan kepada PMKS yang memohon pensijilan halal buat kali pertama penting untuk memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam industri halal namun ia perlu disusuli dengan peningkatan kualiti produk, pengukuhan penjenamaan serta kesiapsiagaan untuk menembusi pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM5,000 bagi PMKS yang memohon pensijilan halal buat kali pertama, selain geran antara RM25,000 hingga RM34,000 bagi menyokong PMKS dalam sektor berpotensi tinggi, termasuk kosmetik dan farmaseutikal.
Mohd Afandi menyifatkan inisiatif itu berpotensi membantu syarikat tempatan mengukuhkan asas perniagaan, meningkatkan daya saing produk serta memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri halal.
Beliau berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), HDC berperanan membangunkan ekosistem industri halal Malaysia melalui pembangunan kapasiti syarikat, pemudahcaraan akses pasaran, hubungan perniagaan dan pengukuhan daya saing industri.
Selain itu, HDC bekerjasama dengan rakan strategik seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperluas akses usahawan, khususnya usahawan bumiputera kepada latihan, bimbingan dan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan daya saing perniagaan.
Mohd Afandi berkata pembangunan tenaga profesional melalui latihan Eksekutif Halal juga penting bagi membantu syarikat memahami keperluan dan standard industri, memperkemas operasi serta meningkatkan kesiapsiagaan untuk menyertai rantaian bekalan yang lebih luas.
Beliau berkata HDC turut membantu syarikat halal tempatan meningkatkan kesiapsiagaan perniagaan, memperkukuh penjenamaan dan pembungkusan produk serta meneroka peluang kerjasama dengan pembeli dan rakan industri berpotensi di pasaran antarabangsa melalui pelbagai program pembangunan industri.
Mohd Afandi berkata pembangunan industri halal memerlukan pendekatan bersepadu dan menyeluruh yang menghubungkan sokongan kerajaan dengan keperluan sebenar pemain industri.
“Matlamat kita adalah untuk melahirkan lebih banyak syarikat halal tempatan yang berdaya saing, mampu memenuhi permintaan pasaran dan berkembang secara mampan.
“HDC akan terus bekerjasama dengan MITI dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan serta meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran halal global,” katanya.







