SHAH ALAM, 9 DIS: Terletak di laluan emas Selat Melaka, Pelabuhan Klang bukan sahaja kekal sebagai pelabuhan paling sibuk di Malaysia, malah buat julung kali tersenarai dalam 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia, hasil gabungan lokasi strategik, dasar mesra perniagaan dan sistem operasi berkecekapan tinggi. Pencapaian ini menandakan satu mercu perkembangan penting dalam sejarah perdagangan maritim Selangor dan negara.
Menurut ranking Lloyd’s List yang diterbitkan pada 1 September 2025, Pelabuhan Klang mencatat sejarah apabila melonjak ke tangga ke-10 dunia dalam senarai 100 pelabuhan terbaik. Kedudukan itu menyaksikan peningkatan konsisten daripada tempat ke-13 (2022) dan ke-11 (2023).
Tiga pelabuhan teratas dunia tahun ini ialah Shanghai, Singapura dan Ningbo-Zhoushan.
PKA main peranan penting sebagai ‘penjaga pintu masuk negara’
Di sebalik kejayaan tersebut, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Ean Yong Hian Wah berkata pihaknya terus memainkan peranan penting sebagai pengawal selia dan pemangkin pembangunan industri maritim negara.
Katanya, sebagai ‘landlord’ kepada Pelabuhan Klang, operasi pelabuhan diswastakan kepada dua pengendali utama iaitu Northport dan Westports.
Menurutnya, kedudukan Pelabuhan Klang yang semakin meningkat didorong oleh tiga faktor utama:
Lokasi strategik di laluan perdagangan antarabangsa,
Dasar kerajaan yang mesra pelaburan, dan
Operasi pelabuhan yang sangat efisien.
“Saingan terbesar Pelabuhan Klang di peringkat antarabangsa ialah Singapura, manakala di peringkat domestik pula ialah Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor. Namun, berbanding Singapura, kelebihan utama kita ialah keluasan kawasan industri yang jauh lebih besar,” katanya.
Bekalan kargo tempatan kukuh, trafik transshipment stabil
Beliau menjelaskan Singapura berdepan kekangan tanah yang mengehadkan perkembangan sektor industri, menyebabkan kira-kira 98 peratus kargo mereka adalah transshipment. Sebaliknya, Pelabuhan Klang memiliki asas kargo tempatan yang kukuh.
“Kira-kira 45 peratus kontena yang diuruskan Pelabuhan Klang datang daripada pengeluaran tempatan, manakala selebihnya ialah kargo transshipment. Banyak syarikat perkapalan antarabangsa singgah di sini kerana permintaan daripada zon perindustrian tempatan,” katanya.
Beliau menambah dasar kerajaan pusat dan negeri yang pro-perniagaan turut merancakkan kargo keluar masuk, selain pertambahan pelabur terutamanya dari China yang memilih Malaysia sebagai lokasi kilang dan pusat operasi.
Sasaran 15 juta TEU tahun ini
Sebagai hab maritim wilayah dan pintu masuk perdagangan antarabangsa, jumlah kontena yang dikendalikan Pelabuhan Klang terus mencatat pertumbuhan.
Pada tahun 2024, Pelabuhan Klang mengendalikan 14.64 juta TEU, meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada 2023.
Perincian kargo 2024:
• Import: 3.38 juta TEU (kertas kitar semula, alat ganti automotif, bijirin, produk tenusu, gula dan lain-lain)
• Eksport: 3.35 juta TEU (produk kertas, kaca, penghantaran kosong ke Asia)
• Transshipment: 7.92 juta TEU
Beliau yakin sasaran 15 juta TEU pada 2025 mampu dicapai. Sehingga Jun tahun ini sahaja, hampir 7 juta TEU telah dikendalikan.
Westports diperluas, gandakan kapasiti hingga 28 juta TEU
Menghadapi peningkatan persaingan global, Pelabuhan Klang sedang melaksanakan projek peluasan infrastruktur berskala besar bagi 10 tahun akan datang.
Projek Peluasan Westports kini giat dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun. Kapasiti pengendalian akan meningkat daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU.
“Penggunaan Westports sudah hampir 80 peratus. Jika tidak diperluas segera, kita tidak mampu menampung permintaan pada masa depan,” katanya.
Pembangunan itu meliputi pembinaan lapan terminal kontena baharu (CT10 – CT17) serta kemudahan dermaga air dalam untuk kapal bersaiz mega.
• Fasa 1: CT10 – CT13, dijangka mula beroperasi seawal hujung tahun ini atau tahun depan.
• Fasa 2: CT14 – CT17.
Bagi Northport pula, pelabuhan itu memberi tumpuan kepada menaik taraf Wharf 9, termasuk penggunaan peralatan moden seperti kren dwikontena bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Northport mempunyai kekangan tanah dan tidak sesuai untuk pembangunan skala besar. Fokus mereka ialah menaik taraf peralatan secara berfasa,” katanya.
Prapapar: Pelabuhan Ketiga Klang
Sementara Pelabuhan Klang memasuki kelompok global teratas, satu lagi projek besar sedang menunggu giliran — cadangan Pelabuhan Ketiga Klang di Pulau Carey, yang dijangka menjadi komponen utama dalam menyokong pertumbuhan perdagangan kontena masa depan.
Laporan seterusnya akan meneliti bagaimana pembangunan itu bakal mengubah landskap maritim negara.



