SHAH ALAM, 9 DIS: Pelabuhan ketiga Klang di Pulau Carey dijadualkan mula dibina pada 2028 bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kontena di Pelabuhan Klang dan negara secara keseluruhan.
Apabila beroperasi kelak, pelabuhan tersebut dijangka mampu mengendalikan sehingga 30 juta TEU setahun.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah berkata pelabuhan ketiga Klang adalah projek pembangunan Kerajaan Persekutuan dan tergolong dalam projek infrastruktur besar untuk 30 hingga 40 tahun akan datang, dengan pembinaan dijangka bermula pada 2028.
“Pada masa ini, kita sedang menunggu pelantikan pengendali oleh Kerajaan Persekutuan bagi memulakan perancangan menyeluruh serta proses pengambilan tanah. Prosedur awal ini dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun, justeru pembinaan pelabuhan ketiga dijangka bermula paling awal pada 2028,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 3 November lalu menyatakan bahawa kementerian sedang memantapkan pelan pembangunan keseluruhan Pelabuhan Carey, dengan fasa pertama dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Pelabuhan Ketiga Carey (JPPC) akan mengemukakan pelan pelaksanaan rasmi ke Kabinet untuk semakan dan kelulusan selepas perancangan lengkap ditetapkan.
Sementara itu, Kerajaan Selangor telah mengenal pasti kawasan seluas 1,699.68 hektar (4,200 ekar) di Pulau Carey, daerah Kuala Langat, bagi pembangunan pelabuhan ketiga Klang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pada 17 September lalu berkata tanah itu terdiri daripada 1,011.71 hektar (2,500 ekar) tanah dasar laut yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan 687.96 hektar (1,700 ekar) tanah pesisir milik Kumpulan Wang Negeri Selangor.
“Kerajaan negeri akan memainkan peranan aktif dalam pembangunan Pelabuhan Carey kerana ia merupakan salah satu pemangkin utama pembangunan Selangor dalam 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya.

Rel kereta api pacu transformasi pelabuhan
Ean Yong menekankan bahawa pembangunan pelabuhan berkait rapat dengan infrastruktur pengangkutan. Menteri Pengangkutan juga berulang kali menegaskan bahawa pembangunan logistik masa depan akan lebih menekankan pengangkutan melalui rel kereta api.
Beliau berkata projek Kita Selangor Rail Line, yang digerakkan oleh Kerajaan Selangor, selaras dengan hala tuju pembangunan pengangkutan dan logistik Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri perlu bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan kerana pembangunan rel masih di bawah bidang kuasa kementerian. Lembaga Pelabuhan sangat menggalakkan pengendali pengangkutan menggunakan rel untuk menghantar kontena ke pelabuhan bagi mengurangkan pergantungan pada sistem jalan raya dan mengurangkan kesesakan trafik.”
Ean Yong berkata Kerajaan Persekutuan dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini telah memperuntukkan kira-kira RM100 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur sekitar pelabuhan.
Beliau menambah, LPK merancang bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan tahun depan untuk memasang peranti timbang automatik dan sistem CCTV di laluan utama pelabuhan bagi memantau berat trak, mengelakkan masalah terlebih muatan, dan mengurangkan risiko kemalangan.
“Fasa pertama akan dijalankan di pintu masuk pelabuhan; sebarang trak yang gagal melepasi had berat tiga kali akan dihalang daripada memasuki pelabuhan. Fasa kedua melibatkan pemasangan sistem automatik di laluan utama, dengan pengeluaran saman terus kepada syarikat terbabit sekiranya dikesan terlebih muatan.”
Digitalisasi operasi pelabuhan
Bagi memastikan operasi pelabuhan kekal selaras dengan perkembangan semasa, Pelabuhan Klang kini sedang beralih kepada digitalisasi operasi, menuju pembangunan pelabuhan pintar.
Ean Yong berkata, Pelabuhan Klang telah menggunakan sepenuhnya sistem Malaysia Maritime Single Window (MMSW), membolehkan syarikat perkapalan menyelesaikan urusan kastam sebelum kapal tiba di dermaga.
“Pengendali logistik juga boleh menguruskan kastam secara atas talian. Ini menjadikan Pelabuhan Klang antara sistem pelabuhan pintar termaju di rantau ini.”
Beliau menjelaskan, semua proses kastam boleh disiapkan sebelum kargo tiba di dermaga, menjimatkan masa pergerakan kargo dan meningkatkan keberkesanan operasi pelabuhan.
———————————————————————————————-
Walaupun Pelabuhan Klang kini berada dalam kelompok 10 pelabuhan teratas dunia, cabaran sebenar baru sahaja bermula. Dua badan industri telah menekankan tiga faktor utama bagi memastikan pelabuhan terus kompetitif di peringkat antarabangsa. Laporan seterusnya akan membongkar kebimbangan dan harapan sebenar industri terhadap Pelabuhan Klang.



