Lelaki tempatan ditahan guna pasport milik individu lain

8 Dis 2025, 9:50 AM
Lelaki tempatan ditahan guna pasport milik individu lain
Lelaki tempatan ditahan guna pasport milik individu lain
Lelaki tempatan ditahan guna pasport milik individu lain

SHAH ALAM, 8 DIS: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang cuba keluar negara menggunakan pasport India milik individu lain dalam satu Operasi Khas semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan memaklumkan operasi bermula jam 11 pagi itu dijalankan di dua lokasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan sebuah kediaman di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Operasi disertai pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menurut beliau, suspek lelaki itu ditahan di kaunter pemeriksaan keluar KLIA Terminal 1 selepas pegawai bertugas mengesan cubaan menggunakan pasport India yang dipercayai dipalsukan identiti pada muka surat biodata atau milik individu lain.

“Hasil penahanan lelaki terbabit membawa kepada tangkapan seorang wanita warganegara India di sebuah premis kediaman di Jalan Kuching. Semakan awal mendapati wanita itu tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan.

Turut dirampas dua pasport India, satu boarding pass dan sebuah telefon bimbit.

Ketika operasi di kediaman sama, wanita warga India itu turut cuba melarikan diri sambil membawa MyKad milik suspek namun berjaya dihalang anggota operasi.

Menurut Zakaria lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966 manakala wanita India terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Wanita itu juga disiasat JPN mengikut Peraturan 25(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Dua individu warganegara Malaysia lain turut diberi notis hadir bagi membantu siasatan.

"JIM akan terus mengambil tindakan tegas membanteras kegiatan melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terpelihara,” katanya.