SHAH ALAM, 6 APR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor menahan 214 warga asing dalam operasi bersepadu di sekitar Setia Alam, 3 April lalu.
JIM memaklumkan, serbuan dilaksanakan secara serentak itu menyasarkan tiga penempatan haram yang dipercayai telah wujud antara lima hingga sembilan tahun lalu serta dilengkapi kemudahan elektrik serta air.
"Seramai 356 warga asing diperiksa dengan 214 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya menerusi kenyataan.
Kesemua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Seramai 303 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan JIM Negeri Selangor, JIM Putrajaya, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Negeri Sembilan dan JIM Pulau Pinang.
Operasi turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Sementara itu, Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin menyeru warga asing yang melakukan kesalahan imigresen untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan pendakwaan.
"Warga asing di luar sana yang melakukan kesalahan imigresen diseru mengambil peluang pulang ke negara asal tanpa melalui tindakan pendakwaan melalui Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM) yang akan tamat pada 30 April 2026," katanya dalam sidang media di lokasi operasi.









