SHAH ALAM, 8 DIS: Skuad badminton berpasukan wanita terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 di Gimnasium Thamasat Rangsit, sebentar tadi.
Malaysia bermula goyah apabila perseorangan pertama, K Letshanaa tewas 9-21, 10-21 kepada pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani.
Namun semangat negara kembali menyala menerusi gandingan utama, Pearly Tan-M Thinaah, yang tampil cemerlang untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas menewaskan Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-14, 17-21, 21-16, lapor Berita Harian.
Pemain muda negara, Wong Ling Ching mencuri tumpuan apabila mencipta kejutan menundukkan pemain ranking ke-10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung, 22-20, 15-21, 21-16 dalam pertarungan satu jam enam minit untuk mendahului 2-1.
Namun Indonesia terus membalas apabila beregu Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari menewaskan Go Pei Keep-Toh Ee Wei 21-10, 21-9 dalam masa 40 minit untuk mengikat kedudukan 2-2.
Tanggungjawab menentukan nasib skuad negara kemudian digalas perseorangan terakhir, Siti Zulaikha Azmi.
Walaupun beraksi tenang di bawah tekanan, Siti Zulaikha akur tewas 18-21, 16-21 kepada Mutiara Ayu Puspitasari dalam aksi 55 minit sekali gus menoktahkan laluan Malaysia ke final.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara berpasukan wanita ialah pada Sukan SEA 2019 di Filipina, dengan pasukan negara turut membawa pulang gangsa.


