RTB RM1.28 juta bakal selesai banjir kilat Taman Bayu Perdana

8 Dis 2025, 9:01 AM
RTB RM1.28 juta bakal selesai banjir kilat Taman Bayu Perdana
RTB RM1.28 juta bakal selesai banjir kilat Taman Bayu Perdana
RTB RM1.28 juta bakal selesai banjir kilat Taman Bayu Perdana

KLANG, 8 DISEMBER: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM1.28 juta bakal menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi lebih 800 pemilik rumah di Taman Bayu Perdana di sini sejak lima tahun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran berkata dana itu membabitkan pembinaan dua rumah pam dan ‘pipe jacking’ iaitu kaedah binaan saluran paip bawah tanah tanpa perlu menggali parit besar di permukaan.

“Penduduk terpaksa menghadap banjir kilat hampir setiap tahun, banjir dua hingga tiga kali. Dan sebelum ini ada satu premis bank terkenal di Jalan Batu Unjur, tapi akhirnya mereka terpaksa berpindah kerana pihak pengurusan tidak tahan sebab kerap banjir.

“Justeru saya turun padang hari ini untuk menggesa kontraktor mempercepatkan pembinaan RTB ini. Difahamkan mereka akan siapkan sebelum Julai,” kata Tony Leong Tuck Chee kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi banjir di Jalan Batu Unjur 1, Klang bersama Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Kumanan Perumal dan Jurutera Jabatan Kejuruteraan MBDK, Ir Mohd Fazrul Syamel Hasan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran Tony Leong Tuck Chee bercakap kepada media selepas meninjau projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Taman Bayu Perdana, Klang pada 8 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Tegas Tony, kerja baik pulih di Taman Bayu Perdana sudah dibuat sejak lima tahun lalu namun isu kontraktor menyebabkan projek berkenaan kerap tertangguh sehingga penduduk terus berdepan bencana banjir kilat.

“Hari ini pun saya turun padang selepas lihat projek ini seperti tidak berjalan walaupun penyerahan tender baharu dibuat sejak September. Rupa-rupanya mereka masih menanti kelulusan ‘pipe jacking’.

“Penduduk tidak perlu risau kerana kontraktor sudah beri jaminan yang mereka akan siapkan projek ini sebelum Julai tahun depan, kemungkinan lebih awal,” katanya.

Pada masa sama, ADN Pandamaran itu turut menggesa supaya orang ramai memaklumkan segera lokasi banjir kilat kepada pejabatnya bagi membolehkan kerja baik pulih dibuat.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya 19 lokasi panas kejadian banjir kilat dilaporkan kerap berlaku dalam kawasan Pandamaran dan kini berada dalam pemantauan.

“Mereka kena maklumkan kerana setiap tiga bulan saya akan bawa isu banjir ini dalam mesyuarat bersama semua agensi. Untuk makluman, tahun ini sembilan projek tebatan banjir sudah diluluskan dalam kawasan saya.

“Oleh itu, jika ada masalah, sila lapor segera bersama bukti bergambar,” katanya.