Ahli Parlimen Padang Serai didakwa atas pertuduhan rasuah RM400,000

8 Dis 2025, 4:34 AM
Ahli Parlimen Padang Serai didakwa atas pertuduhan rasuah RM400,000

SHAH ALAM, 8 DIS: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah berjumlah RM400,000 dalam projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

Azman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk menerima suapan daripada Mohd Hassanaim Fauzi, 39, sebagai upah membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan didakwa dilakukan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim pada 23 Jun 2020, jam 5 petang, di tepi jalan berhadapan pejabat sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, lapor Sinar Harian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Nizamuddin Abdul Hamid, N Surendran, Sasha Lyna Abdul Latif dan Shahid Adli Kamarudin.