Penduduk gesa projek tebatan banjir dipercepat, elak kerosakan berulang

8 Dis 2025, 12:15 AM
Penduduk gesa projek tebatan banjir dipercepat, elak kerosakan berulang
Penduduk gesa projek tebatan banjir dipercepat, elak kerosakan berulang
Penduduk gesa projek tebatan banjir dipercepat, elak kerosakan berulang
Penduduk gesa projek tebatan banjir dipercepat, elak kerosakan berulang

HULU LANGAT, 8 DIS: Penduduk Taman Seri Nanding yang kerap terjejas akibat banjir berharap rancangan tebatan banjir di kawasan Hulu Langat dipercepat bagi mengelakkan kerosakan berulang pada rumah dan harta benda.

Mereka berkata banjir baru-baru ini naik terlalu cepat sehingga ada yang tidak sempat menyelamatkan barangan asas, manakala lumpur tebal yang dibawa arus menyukarkan kerja pembersihan di dalam dan luar rumah.

Penduduk Taman Seri Nanding, Rohana Mohamed, 62, berkata rumahnya sudah empat kali dimasuki air sejak September menyebabkan hampir semua kelengkapan rosak.

Banjir kali terakhir disifatkan antara yang paling memberi kesan apabila air naik sehingga paras paha.

Penduduk Taman Seri Nanding, Rohana Mohamed, 62, ditemui pada majlis penyerahan bantuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Huu Langat pada 7 Disember 2025. Foto NAZLI IBRAHIM/MEDIASELANGOR

“Berlakunya bencana banjir ini mula bulan September. Bulan itu dua kali banjir. Selepas itu berlaku lagi November dan Disember, dua kali.

"Banjir bulan September itu setakat paras lutut, tapi banjir yang keempat ini paras paha. Peti ais terbalik, pintu almari tercabut, mesin basuh tenggelam, tilam, bantal semua rosak,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding di sini, semalam.

Penduduk taman sama, Hamadah Mat Isa, 63, berkata air memasuki rumahnya kira-kira jam 6.30 pagi dan hanya surut menjelang petang, menyebabkan perabot kayu dan almari tidak lagi boleh digunakan.

Keluarganya juga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas paras air mencecah lutut.

Penduduk Taman Seri Nanding, Hamadah Mat Isa, 63, ditemui pada majlis penyerahan bantuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Huu Langat pada 7 Disember 2025. Foto NAZLI IBRAHIM/MEDIASELANGOR

“Di rumah, air naik sampai ke lutut. Almari, kerusi kayu, meja makan rosak. Air banjir hampir sehari, 6.30 pagi air mula masuk, sampai petang air surut,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hasnita Ahmad Saleh, 63, berkata banjir kali ini berlaku di luar jangkaan kerana air naik terlalu cepat dari longkang besar berhampiran, menyebabkan mereka hanya sempat mengangkat sebahagian kecil barangan penting.

“Masa keadaan banjir itu, kita pun tak sangka cepat air masuk. Biasanya kalau di longkang besar sempat lagi nak selamatkan barang tetapi kali ini tiba-tiba sahaja terus air masuk.

"Kami angkat apa yang sempat sahaja. Macam tilam memang tidak sempat nak angkat sebab air paras lutut, habis bantal selimut, tilam,” katanya.

Hasnita Ahmad Saleh, 63, ditemui pada majlis penyerahan bantuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Huu Langat pada 7 Disember 2025. Foto NAZLI IBRAHIM/MEDIASELANGOR

Bagi Azrul Sidek, 47, kejadian terbaharu itu mungkin tidak seteruk banjir besar 2021 namun aliran lumpur yang memasuki rumah menyebabkan mereka berdepan kerja pembersihan lebih mencabar.

Katanya, ada rumah yang dimasuki air sehingga paras pinggang selain lumpur setinggi kira-kira tiga sentimeter menutupi lantai.

“Masa banjir (kali ini) tidak seperti 2021 tetapi sebab bawa lumpur. Lumpur masuk rumah lebih kurang tiga sentimeter tetapi air masuk rumah dalam satu kaki jugalah. Ada rumah masuk air sampai paras pinggang tetapi saya bahagian belakang, tidak seteruk bahagian depan,” katanya.

Beliau menganggarkan kerugian kali ini mencecah sekitar RM5,000 selepas kereta turut dimasuki air selain pakaian dan barangan lain terpaksa dihantar dobi kerana berendam lumpur.

Penduduk di kawasan itu berharap kerja tebatan banjir, pendalaman sungai dan penambahbaikan sistem perparitan dipercepat bagi memastikan air hujan mengalir dengan lebih lancar serta mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan rendah dan pertengahan.

16 September lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz, berkata kerajaan persekutuan sudah meluluskan RM512 juta bagi projek RTB di Sungai Langat yang kini berada di peringkat laporan kajian teknikal oleh perunding.

Beliau berkata perunding sedang meneliti aspek teknikal termasuk bahagian sungai yang perlu didalamkan atau dilebarkan, jajaran terlibat serta keluasan pengambilan tanah dan proses itu memerlukan kepakaran konsultan serta mengambil masa sebelum kerja fizikal dimulakan.

Johan berkata, selain itu Kerajaan Negeri turut melaksanakan RTB berskala tempatan termasuk peruntukan RM10 juta masing-masing di Kampung Batu 16 dan Kampung Batu 10 Cheras serta hampir RM2 juta bagi mendalamkan Sungai Sering serta menggantikan jambatan usang.