SHAH ALAM, 30 APR: Kekerapan hujan lebat pada tahap ekstrem dan kesukaran meramal antara cabaran besar dalam bidang hidrologi ekoran faktor perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia.
Menurut pakar hidrologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhidayu Abu Bakar, corak hidrologi berubah secara drastik sekali gus mengakibatkan kawalan banjir menjadi lebih sukar.
“(Ini) termasuk ketidaktentuan musim hujan dan musim kering selain hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat di luar kebiasaan,” katanya kepada Media Selangor.
Hidrologi ialah cabang sains berkaitan air termasuk perihal pembentukan, kandungan dan pergerakannya sama ada di atmosfera, di atas atau bawah permukaan bumi dan di lautan.

Beliau berkata keadaan suhu permukaan yang kian tinggi turut menyumbang kepada peningkatan jumlah hujan ekstrem dan gus meningkatkan lagi risiko banjir kilat di kawasan bandar.
Justeru, katanya, reka bentuk saliran yang sebelum ini mengambil kira taburan hujan, kenaikan suhu dan perubahan cuaca semata-mata menyebabkan sistem sedia ada tidak lagi mencukupi.
“Hujan lebat tiba-tiba dan sukar diramal, malah sering melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada. Corak aliran air tidak lagi seperti dahulu,” kata pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar itu.
Katanya, elemen adaptasi iklim perlu diterap tanpa bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional dengan beralih kepada strategi adaptasi lebih berdaya tahan bagi menangani bah.
Beliau berkata pendekatan yang boleh dibuat antaranya konsep bandar span (sponge city) yang menekankan amalan infrastruktur hijau berbanding kebergantungan kepada struktur konkrit.
Katanya, konsep tersebut antara lain memperbanyak ruang hijau, taman bandar, bumbung hijau serta penggunaan permukaan telap air bagi meningkatkan keupayaan tanah menyerap air hujan.
Menurut Dr Siti Nurhidayu, bandar span menjadikan kawasan lapang seperti padang atau taman menjadi takungan sementara ketika hujan lebat, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap sistem saliran.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan aliran air permukaan, malah membantu menakung air secara semula jadi sebelum dilepaskan atau digunakan semula secara mampan,” katanya.
Dalam konteks Selangor, beliau menjelaskan kebanyakan projek tebatan banjir yang dijalankan di negeri tersebut masih dalam pembinaan, sebahagiannya hanya siap sepenuhnya menjelang 2030.
Beliau menyifatkan kelemahan utama projek sedemikian antaranya ketidakupayaan mengawal faktor cuaca ekstrem yang berada di luar jangkaan manusia sekali gus sukar menangangi banjnir kilat.
“Projek-projek ini dirancang untuk pengurusan banjir jangka panjang, namun pada masa ini ia belum mampu menangani isu banjir kilat sepenuhnya," kata Dr Siti Nurhidayu.








