PETALING JAYA, 7 DIS: Bantuan tunai yang disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada penduduk terjejas ribut di sekitar Petaling Jaya hadir tepat pada waktunya sekaligus meringankan beban mereka dalam usaha memulihkan kediaman.
Penerima sumbangan Halizan, 51, beryukur atas bantuan berkenaan dan menyifatkannya sebagai rahmat dalam situasi sukar yang mereka hadapi.

“Sumbangan ini benar-benar meringankan beban kami. Sekurang-kurangnya dapat kami baiki atau ganti barang yang rosak,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat.
Beliau antara 15 keluarga yang menerima bantuan tunai hari ini selepas kediaman mereka di Kampung Lindungan terjejas akibat ribut baru-baru ini.
Majlis penyampaian berlangsung di Dewan Keluarga Harmoni di sini, dengan bantuan kewangan diberikan kepada 12 rumah pangsapuri masing-masing RM500 dan tiga rumah teres masing-masing RM1,000.

Sementara itu, Puvenes Kalliappan, 38, pula menganggap bantuan itu sebagai “penyelamat” selepas rumahnya mengalami kerosakan teruk, termasuk bumbung tercabut dan perabot rosak.
“Kami lega apabila bantuan tiba. Kerugian memang besar, dan kehadiran Yayasan MBI beberapa jam selepas kejadian amat membantu, lebih-lebih lagi saya mempunyai anak yang akan menduduki SPM,” katanya.
Beliau menambah, bantuan tersebut akan digunakan secara berhemah untuk memastikan pembaikan asas dapat dilakukan segera.

Bagi Aminah Khairi, 38, tindakan pantas Yayasa MBI turun padang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap penduduk yang terjejas.
“Yayasan MBI tidak pernah mengabaikan mangsa bencana. Mereka bertindak cepat dan itu memberi kelegaan kepada kami,” katanya sambil menekankan bahawa bantuan tunai itu sangat membantu keluarganya menguruskan keperluan pasca ribut.
Program bantuan ini sekali lagi membuktikan kepentingan tindakan segera dan koordinasi teratur antara Yayasan MBI, pihak berkuasa tempatan serta wakil rakyat dalam memastikan kebajikan mangsa bencana terus terbela.




