GOMBAK, 26 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus memperkukuh jaringan sosial negeri apabila menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada pelbagai golongan memerlukan di daerah ini hari ini.
Ketua Yayasan MBI berkata sumbangan tersebut merangkumi bantuan kepada mangsa bencana ribut dan kebakaran, agihan zakat wakalah kepada asnaf, pemberian peranti elektronik kepada pelajar sekolah menengah serta bantuan bakul makanan kepada kumpulan rentan.
Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, inisiatif itu sejajar dengan komitmen Yayasan MBI untuk memastikan setiap bantuan yang diagihkan memberi impak segera dan menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat.

“Hari ini kami turun ke Gombak bagi menjayakan program sumbangan Yayasan MBI. Ia merangkumi zakat wakalah, bantuan kepada mangsa ribut dan kebakaran serta sumbangan tablet kepada pelajar sekolah.
“Ada juga bantuan bakul makanan kepada keluarga rentan. Untuk mangsa kebakaran, jumlah sumbangan bergantung kepada tahap kerosakan antara RM1,500 hingga RM3,000, manakala mangsa ribut menerima RM1,000,” katanya selepas menyerahkan sumbangan di Dewan Komuniti Kampung Wira Damai, di sini, hari ini.
Sementara itu, mangsa ribut di Kampung Bahtera Wira Damai Azrin Azmi, 36, menyifatkan bantuan diterima sebagai penyelamat keadaan selepas kediamannya rosak teruk buat kali kelima akibat dilanda ribut.

“Bila ribut, bukan saja siling pecah, batu pun retak. Tandas, dapur, bilik air semua rosak, rumah pula banjir separuh.
“Saya terkejut sebab kali ini bantuan sampai cepat. Selalunya bantuan zakat ambil masa tiga hingga empat bulan. Tapi ini memang ‘kilat’ betul, terima kasih kepada Yayasan MBI,” katanya.
Bagi Lamiah Ahmad, 64, bantuan segera itu amat bermakna selepas rumahnya rosak teruk apabila bumbung diterbangkan angin.

“Masa kejadian, bumbung bergulung-gulung. 40 tahun saya duduk sini tak pernah kena. Syukur alhamdulillah, bantuan cepat sampai sebab memang tiada duit nak baiki,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar Siti Nuriyhan Ilias, 17, terharu menerima sumbangan tablet yang bakal digunakan sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya belum pernah ada tablet. Sekarang boleh guna untuk buat rujukan dan tugasan sekolah. Saya segan nak minta ibu bapa sebab mereka pun banyak tanggungan. Jadi saya sangat terharu bila dapat bantuan ini,” katanya.







