Takwim persekolahan baharu disifatkan lebih seimbang dan tersusun – ibu bapa

7 Dis 2025, 1:00 PM
Takwim persekolahan baharu disifatkan lebih seimbang dan tersusun – ibu bapa
Takwim persekolahan baharu disifatkan lebih seimbang dan tersusun – ibu bapa
Takwim persekolahan baharu disifatkan lebih seimbang dan tersusun – ibu bapa

SHAH ALAM, 7 DIS : Pengumuman takwim persekolahan baharu untuk sesi 2026 menerima sambutan positif daripada ibu bapa yang menyifatkannya lebih seimbang, tersusun dan memudahkan perancangan.

Shakirah Sharif, 41, kakitangan swasta dan ibu kepada empat anak, berkata ketetapan jadual yang lebih jelas membantu mengurangkan tekanan serta memudahkan pengurusan rutin keluarga dan kerjaya.

Shakirah Sharif, 41. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR 

“Lega apabila takwim persekolahan baharu ini kembali seperti zaman sebelum era pandemik. Sebagai ibu bekerja, saya memang perlukan takwim awal macam ini.

“Takwim kali ini nampak lebih seimbang dan tersusun. Mudah mahu rancang, terutama bila ibu bapa bekerja, boleh atur cuti. Bila jadual jelas, kita pun lebih bersedia dari awal,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah DUN Kota Anggerik di Petals Event Space, Seksyen 7, yang disempurnakan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi.

Nor Azimah Akiyu, 38, dan anaknya Rizq Khuzairi Razali, 8. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Nor Azimah Akiyu, 38, seorang suri rumah, berharap takwim baharu itu kekal tanpa perubahan saat akhir seperti pengalaman sebelum ini.

“Walaupun anak seorang, kadang-kadang risau juga kalau jadual sekolah padat. Jadi, takwim baharu ini sangat membantu saya memantau lebih awal.

“Cuti sekolah tidak terlalu panjang, mudah untuk jaga rutin anak supaya dia tidak lupa pelajaran dan pada masa sama dia cukup rehat atau boleh sertai aktiviti tambahan lain,” katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini memaklumkan sesi persekolahan tahun depan akan bermula Januari 2026, menandakan langkah penting untuk menormalkan semula sistem pendidikan negara selepas hampir lima tahun kesan pandemik Covid-19.

Selepas beberapa siri pelarasan takwim akibat penutupan sekolah semasa pandemik, sesi persekolahan yang sebelum ini bermula pada Mac kini dikembalikan ke jadual asal seperti sebelum 2020.

Jadual sesi persekolahan 2026 adalah seperti berikut:

Kumpulan A

(Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) - 11 Januari

Kumpulan B

(Selangor, KL, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah, Labuan, Sarawak) - 12 Januari

Langkah pemulihan ini dibuat secara berperingkat dan teratur bagi memastikan kelancaran operasi sekolah serta kebajikan murid dan guru tidak terganggu.