3,000 sukarelawan daftar Sahabat Penggerak MADANI

7 Dis 2025, 7:16 AM
3,000 sukarelawan daftar Sahabat Penggerak MADANI

PUTRAJAYA, 7 DISEMBER: Kerajaan melancarkan Sahabat Penggerak MADANI, satu inisiatif sukarelawan nasional bagi memperkukuh komunikasi dasar serta memperluas penyertaan rakyat melalui rangkaian sukarelawan yang aktif di lapangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seramai 3,000 sukarelawan telah berdaftar dengan program itu setakat ini di seluruh negara.

“Mereka berperanan menyampaikan naratif kenegaraan, menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih, sekali gus menyokong pelaksanaan program Akademi Kenegaraan Malaysia.

“Sebagai penghargaan, sukarelawan akan menerima kad pengenalan rasmi, akses latihan bersama Akademi Kenegaraan, manfaat rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Seri Malaysia, peluang menyertai program nasional dan sijil penglibatan sebagai rekod rasmi sukarelawan negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.

Pada majlis sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelaksanaan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat 3.0 dengan peruntukan RM20 juta.

“Skim bermula 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026 dan menyaksikan peningkatan kadar pampasan kepada RM13,500 untuk kematian semula jadi, RM26,500 bagi kematian akibat kemalangan serta RM13,500 untuk kecacatan kekal akibat kemalangan.

“Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Takaful akan dimeterai bagi pelaksanaan inisiatif ini,” ujarnya.

Program Rancakkan MADANI berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, menawarkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, termasuk karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa untuk pengunjung.

Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, sebagai tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Penganjuran berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu turut melepasi sasaran lebih 300,000 pengunjung, dan dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.