KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kebergantungan yang tinggi terhadap aplikasi navigasi berteraskan sumber dan kepakaran luar mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara termasuk keselamatan pengguna dalam kalangan rakyat, kata penganalisis keselamatan.
Penganalisis Geostrategik Keselamatan Negara Khairil Hilmi Mokhtar berkata risiko tersebut bukan sahaja melibatkan anggota keselamatan, malah berpotensi menyasarkan individu dalam bidang kepakaran kritikal seperti kejuruteraan, ekonomi dan perubatan yang menjadi aset strategik negara.
“Kebergantungan terhadap teknologi ini sewajarnya disertai jaminan keselamatan data peribadi pengguna serta perlindungan yang tertakluk pada undang-undang Malaysia.
“Sekiranya jaminan keselamatan data peribadi dan bidang kuasa perundangan mempunyai kaitan dengan negara ketiga, sebagai contoh Israel, sudah semestinya perkara ini menimbulkan implikasi keselamatan yang perlu diberikan perhatian serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyaksikan siri serangan dan pembunuhan terancang berasaskan keupayaan risikan menjejaki kedudukan sasaran secara tepat membuktikan ancaman teknologi berkenaan adalah nyata serta membimbangkan.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia harus terus memperkasakan keupayaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi serta kepakaran luar.
Beliau berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia mungkin belum bersedia sepenuhnya membawa mesej lebih besar mengenai keperluan memperjelas hala tuju negara dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan digital demi kepentingan rakyat serta negara.
Khairil Hilmi berkata usaha membina kepakaran sendiri dalam bidang navigasi digital walaupun berdepan dengan pelbagai hambatan wajar diberikan perhatian dan sokongan.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh kemandirian teknologi negara malah membuka ruang untuk meningkatkan keupayaan tempatan dalam menghasilkan penyelesaian bertaraf dunia yang selamat, kredibel dan berintegriti,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penjawat awam supaya berhenti menggunakan aplikasi navigasi Waze berikutan kebimbangan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi boleh dieksploitasi oleh Israel.






