SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menerima bantuan persekolahan melalui inisiatif bersama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA).
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata bantuan tersebut merangkumi wang tunai RM100, beg sekolah dan alat tulis, khusus untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Terima kasih kepada Yayasan MBI dan Yayasan KOSMA sudi bekerjasama menyalurkan sumbangan untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di DUN Kota Anggerik, harap dapat diteruskan.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan untuk pembukaan sekolah tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah DUN Kota Anggerik di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang ibu penerima, Norazaliza Mahad, 39, meluahkan rasa syukur apabila dua daripada lima anaknya terpilih menerima bantuan tersebut.

“Kebetulan nanti tarikh buka sekolah, bulan puasa dan hari raya jaraknya hampir berdekatan. Jadi, ia agak membebankan ibu bapa terutama yang ada anak ramai, dengan bantuan ini ia sangat membantu.
“Terima kasih YB Najwan yang sentiasa turun padang dan membantu rakyat di Kota Anggerik,” katanya.
Turut berkongsi pandangan, A Saraswathy, 42, ibu kepada V Sabinaya, 10, berkata bantuan itu sangat signifikan ketika kos sara hidup semakin meningkat.
“Bantuan ini sangat membantu terutama dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini. Saya harap Kerajaan Negeri teruskan sumbangan seperti ini,” katanya.


