SHAH ALAM, 7 DIS: Keberanian seorang gadis warga Myanmar memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) sejauh lebih 40 kilometer tanpa dokumen sah berakhir dengan penahanannya dalam Op Bersepadu yang dijalankan malam tadi.
Remaja berusia 16 tahun itu dikesan memandu Honda HR-V milik majikannya menuju ke rumah neneknya di Selayang sebelum ditahan dalam operasi yang diselaraskan Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di Gombak.
Ketika ditemui, remaja itu mengakui dia tidak mempunyai lesen memandu dan sering membawa kenderaan berkenaan.
“Saya baru belajar kereta, tiada lesen dan kereta ini milik majikan. Saya tahu saya salah, tapi saya bukan memandu berseorangan, saya bersama sepupu,” katanya seperti dilapor BH.
Remaja itu antara 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi besar-besaran malam tadi.
Secara keseluruhan, 1,116 individu diperiksa dan 843 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Daripada jumlah itu, majoriti terdiri warga Myanmar seramai 647 orang (617 lelaki, 30 wanita), diikuti Nepal (102), Bangladesh (79), Indonesia (15 orang – 10 lelaki, 5 wanita) dan India (10).


