SHAH ALAM, 6 DIS: Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan bermula tahun depan disifatkan sebagai langkah progresif dan amat dialu-alukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dasar pakaian seragam baharu itu mencerminkan komitmen AirAsia terhadap nilai keterangkuman, kepelbagaian dan penghormatan terhadap tuntutan agama pekerja Muslimah.
"Saya menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan matang oleh pihak pengurusan AirAsia.
"Tidak lupa juga tahniah kepada para asatizah dan pihak terlibat yang gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama dan usaha yang berterusan ini menjadi kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab, yang dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama 2026.
"Saya berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia Madani," katanya.
Semalam, media melaporkan AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam dasar pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.
Dasar baharu itu selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk hasil maklum balas daripada semua pihak.


